Faqih Ali Al-Malbari moyang dan ulama raja-raja Melayu
Knowledge VS Wealth
11 years ago
Faqih Ali Al-Malbari moyang dan ulama raja-raja Melayu
Oleh Wan Mohd. Shaghir AbdullahTOKOH yang diperkenalkan ini berbeza dengan beberapa tokoh bernama Ali yang pernah dibicarakan sebelum ini, iaitu Syeikh Wan Ali bin Ishaq al-Fathani, Syarif Ali Brunei dan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.Faqih Ali al-Malbari yang akan diperkenalkan dalam rencana kali ini juga bernama Andi' Ali. Terdapat percanggahan pendapat mengenai negeri asalnya kerana ada pendapat mengatakan beliau berasal dari negeri Malabar (India) dan pendapat yang lain pula mengatakan berasal dari negeri Bugis (Sulawesi Selatan, Indonesia). Dalam zaman yang sama, terdapat seorang lagi tokoh yang bernama Syeikh Faqih Ali yang berasal dari Patani yang dikatakan orang yang sama dengan Faqih Ali al-Malbari atau Andi' Ali, kerana sama-sama menjalankan aktiviti di Sulawesi Selatan, Johor, Kelantan dan Patani.Namun demikian, penulis tidak dapat memastikan tentang perkara tersebut, apakah benar orang yang sama atau tokoh yang berlainan. Tetapi dapat dipastikan bahawa tokoh yang akan diperkenalkan ini adalah seorang tokoh besar dunia Melayu yang mempunyai zuriat yang ramai menjadi ulama dan raja dalam beberapa kerajaan di Patani dan Kelantan, bahkan terdapat juga di beberapa tempat-tempat lain dunia Melayu.Asal UsulDalam buku yang bertajuk Ringkasan Cetera Kelantan oleh Datuk Nik Mahmud, Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, ada menyatakan seperti berikut, “Syahdan pada suatu masa, bulan sedang mengambang, di tepi langit, tersebutlah anak raja Bugis lari daripada saudaranya. Menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri di rumah Laksamana Kota Tinggi. Dipanggil orang 'Andi' Ali'. Tatkala Laksamana memandang kepadanya, berasa kasihan belas, dan dipeliharakannya sebagai anak sendiri. Tidak berapa tahun kemudian daripada itu, dijodohkan dengan anaknya yang bernama 'Wan Tija'.Tidak berapa lama lepas itu, Andi' Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani. Menumpang di rumah Mekong Damit, Kampung Bira, pada tahun Hijrah 1049 (kira-kira 1640M). Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya, dan berpelajaran, orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri Cik Dewi anak Seri Biji Diraja. Faqih Ali beroleh beberapa anak laki-laki dan perempuan dengan kedua-dua isterinya (Wan Tija dan Cik Dewi)…”Dalam salah satu salasilah yang penulis peroleh dari Terengganu ada tertulis seperti berikut, “Faqih Ali Malbari, asal anak raja Bugis keluar daripada negerinya pergi ke Malabar kerana menuntut ilmu agama dan tinggal di sana dengan menyembunyikan bangsanya. Dan menamakan dirinya Faqih Ali, kemudian masuk ke Johor dan ke Patani. Anak cucunya di Patani, di Kelantan, di Terengganu, dan seluruh negeri Melayu.” Riwayat yang lain pula berdasarkan beberapa silsilah terutama yang ditulis oleh Haji Nik Ishak, Tingkat, Kelantan, yang menyatakan bahawa Andi' Ali itu namanya juga ialah Syeikh Ali al-Malbari. Namun begitu, riwayat tokoh ini masih kabur kerana dalam versi yang lain dikatakan beliau berasal dari negeri Bugis dan ada pula yang menyebut dari Malabar. Malahan yang lebih menyukarkan apabila dikatakan salasilah yang ditemui di Patani menyebut bahawa Syeikh Shafiyuddin Datuk Pujuk Pemerintah Patani adalah anak Faqih Ali al-Malbari.Sekiranya Syeikh Shafiyuddin yang dimaksudkan adalah yang bergelar Tok Raja Faqih, maka cukup jelas bahawa ia tidak tepat. Namun jika yang dimaksudkan adalah orang lain, masih boleh diambil kira sebagai satu catatan salasilah yang betul. Adapun gelaran Tok Raja Faqih yang dimaksudkan tersebut adalah seorang tokoh Patani yang bernama Faqih Ali, iaitu putera Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin. Beliau merupakan orang pertama yang menyusun Tarikh Patani dalam bahasa Melayu yang berdasarkan karya datuk/neneknya Syeikh Shafiyuddin yang ditulis dalam bahasa Arab. Faqih Ali ini adalah seorang pembesar Patani yang digelar Datuk Maharajalela. Beliaulah yang mencari bantuan kerajaan Bone di Sulawesi apabila terjadinya peperangan antara Patani dengan Siam tahun 1632 M. Diriwayatkan bahawa beliau wafat di Sulawesi dan juga dikatakan beliau pulang ke Semenanjung dengan menggunakan nama Faqih Ali al-Malbari atau Andi' Ali itu. Namun, masih sukar untuk dipastikan apakah yang bernama Faqih Ali itu hanya seorang atau dua atau tiga orang yang bernama sama tetapi hidup sezaman. Oleh kerana Faqih Ali al-Malbari tidak diketahui nama orang tuanya, maka masih belum boleh disimpulkan pendapat bahawa tokoh yang dimaksudkan hanya seorang sahaja, iaitulah Faqih Ali, pembesar Patani tersebut. Nama orang tuanya ialah Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin, iaitu Tok Raja Faqih.Terdapat pendapat yang lain pula, dikatakan bahawa Faqih al-Malbari adalah saudara kandung Ibrahim Datu Kelantan VI (1632-1637 M) yang digelar dengan Ong Chai Nyek Ong Brohim Po Nrp yang menjadi raja di Campa tahun 1637 - 1648 M. Namun masih timbul keraguan kerana dikatakan bahawa ayah Faqih Ali dan Ibrahim bernama Mustafa Datu Jambu bergelar Sultan Abdul Hamid Syah atau Ong Tpouo atau Po Rome yang kemudiannya bergelar Raja Sri Sarvasades, iaitu raja Campa tahun 1577 - 1637 M.Ayahnya pula bernama Abdul Muzaffar Waliullah. Berpunca daripada Abdul Muzaffar inilah menurunkan ulama-ulama dan tokoh-tokoh besar Patani, Kelantan, Terengganu dan lain-lain termasuklah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani dan ramai lagi. Namun dalam penemuan penulis yang berdasarkan silsilah yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani di Makkah, nenek moyang mereka ialah Syeikh Ibrahim bin Abar al-Hadhrami. Perkara ini pertama kali penulis perkenalkan dalam Konvensyen Sejarah Kedah pada tahun 1996, dengan kertas kerja yang berjudul 'Hubungan Ulama Patani dan Kedah: Kekeluargaan, Pertalian Ilmu dan Karya.'Apabila dibandingkan dengan catatan-catatan yang lain, beliau juga bernama Syeikh Ibrahim al-Hadhrami bin Saiyid Jamaluddin al-Kubra. Di Patani, beliau memperolehi lima orang anak yang menjadi tokoh dan ulama. Bermula kelima-lima anak beliau itu lahirnya ulama Patani dan Semenanjung yang sangat ramai. Beliau pergi pula ke Kemboja dan memperolehi beberapa orang anak, salah seorang daripadanya ialah Raden Rahmatullah atau Raden Rahmat yang kemudiannya lebih masyhur dengan gelaran 'Sunan Ampel', iaitu salah seorang Wali Songo atau Wali Sembilan di Jawa. Adapun Abdul Muzaffar Waliullah pula adalah bersaudara kandung dengan Syarif Hidayatullah atau lebih terkenal dengan gelaran Sunan Gunung Jati yang menyebarkan Islam di Jawa Barat. Melalui beliaulah berkembangnya ulama-ulama dan sultan-sultan Banten. Beliau juga adalah termasuk salah seorang dalam Wali Songo atau Wali Sembilan. Saudaranya pula ialah Sultan Babullah (Sultan Ternate). Ayah Abdul Muzaffar Waliullah, juga ayah kepada Sunan Gunung Jati dan Sultan Babullah ialah Sultan Abu Abdullah 'Umdatuddin atau Wan Abu atau Wan Bo (Bo Teri Teri) atau Maulana Israil iaitulah raja Campa tahun 1471 M. Manakala ayahnya pula ialah Saiyid Ali Nur Alam.Terdapat Dua Kerajaan PataniYang dimaksudkan "terdapat dua kerajaan Patani" ialah sebuah Kerajaan Patani terletak di utara Semenanjung Tanah Melayu (sudah diketahui ramai) dan sebuah lagi yang terletak di Pulau Halmahera, Kepulauan Maluku, Indonesia. Sekiranya benar Sultan Babullah (Sultan Ternate) adalah putera Sultan Abu Abdullah 'Umdatuddin (Cam) yang asal usulnya dari Patani maka tidaklah mustahil bahawa kerabat Diraja Patani di utara Semenanjung Tanah Melayulah yang mengasaskan Kerajaan Patani di Ternate (Halmahera).Dengan informasi di atas dapat dipastikan bahawa sejak lama ada hubungan antara Patani, Cam/Campa/Kemboja, Jawa, Ternate, dan tempat-tempat lainnya. Sehubungan dengan wujudnya dua Kerajaan Patani (di Segenting Kera dan Ternate) telah disebut mengenainya oleh Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi di dalam Pendidikan Islam di Malaysia (manuskrip) katanya, "...sebuah negeri bernama Patani di Halmahera, dalam daerah Tidore, di Timur Laut Semenanjung Halmahera berbatasan dengan daerah Maba dan Weda..." dan juga telah disebut oleh Pehin Orang Kaya Amar Diraja Dato Seri Utama(Dr.) Haji Awang Muhammad Jamil Al-Sufri di dalam bukunya Tarsilah Brunei tertulis ..." Sheikh Amin dan Sheikh Umar menyebarkan agama Islam di Halmahera Belakang, Maba, Patani dan sekitarnya...". Dengan terdapatnya informasi ini maka masih dapat diambil kira bahawa ada hubungan antara Patani (Segenting Kera) dengan Patani di (Ternate), dan dapat diterima akal bahawa melalui jalur dari Patani ke Cam sehingga melahirkan sekurang-kurangnya tiga orang bersaudara, iaitu: Abdul Muzaffar Waliyullah, Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) dan Sultan Babullah (Sultan Ternate). Ketiga-tiganya adalah cucu Saiyid Ali Nur Alam, yang dibesarkan di Patani dan ramai keturunannya di sana. Baik salasilah Faqih Ali mahu pun salasilah Saiyid Ali nur Alam yang menurunkan tokoh-tokoh yang tersebut bercampur aduk dan membaur, masih sukar mencari titik temu secara pasti. Salasilah pila terdiri berbagai-bagai versi ada yang sama dan ada yang sangat jauh perbezaan antara satu dengan lainnya. Banyak faktor yang menyebabkan demikian di antaranya ialah kadang-kadang seorang tokoh mempunyai dua nama atau tiga nama gelar.Keturunan Faqih Ali al-MalbariMenurut Datuk Nik Mahmud dalam buku Ringkasan Cetera Kelantan, bahawa Faqih Ali/Andi' Ali mempunyai anak yang ramai tetapi yang dijelaskan namanya dalam salasilah ialah :1. Wan Derahman2. Wan Namah3. Wan Nik (Datuk Wan)4. Wan SitiSalasilah versi Patani pula menyebut anak-anak Faqih Ali al-Malbari seperti berikut :* Syeikh Shafiyuddin (Datuk Pujuk Pemerintah Patani)* Nik Din Menteri Lagi Pahlawan Bagi Datuk Pujuk 1* Wan Ismail Tok Kaya Pandak/Pendek* Tok Kaya Rakna Diraja* Wan Faqih Husein* Wan Nguk (isteri Tok Kaya Banggul)Salasilah versi Terengganu pula adalah sama dengan versi Patani, tetapi tiada dinyatakan dua nama iaitu Syeikh Shafiuddin dan Nik Din. Manakala Wan Nguk pula ditambah namanya juga Wan Ngah, isteri Tok Kaya Banggul, anak cucunya keturunan kepada Wan Ahmad di Perlis. Silsilah keturunan tokoh ini jika dijabarkan keseluruhannya memerlukan keterangan yang panjang dalam sebuah buku. Oleh itu, penulis dapat nyatakan beberapa keturunan beliau yang menjadi tokoh dan ulama penting dunia Melayu, antaranya adalah:lSyeikh Abdul Qadir al-Fathani, seorang ulama yang mendidik ramai ulama Terengganu. Salasilahnya : Syeikh Abdul Qadir al-Fatani Bukit Bayas bin Tok Wan Abdur Rahim bin Tok Wan Deraman bin Tok Wan Abu Bakar bin Wan Ismail Tok Kaya Pandak/Pendek.lSyeikh Nik Mat Kecil al-Fathani, penyusun Matla' al-Badrain yang terkenal. Silsilahnya : Syeikh Muhammad bin Wan Ismail bin Wan Ahmad bin Wan Idris bin Haji Wan Tih, ibunya Wan Nik/Tok Wan Ti suaminya Wan Zubeid/Tok Wan Dahit, Wan Nik binti Tok Wan Abu Bakar bin Wan Ismail Tok Kaya Pandak/Pendek.lLong Yunus. Silsilahnya : Long Yunus bin Long, Sulaiman bin Tuan Besar (Long Baha) Datuk Kelantan bin Wan Daim (Datu Pangkalan Tua) Raja Patani bin Wan Nik (Datuk Wan).Datuk Nik Mahmud, Datuk' Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan menulis bahawa tiga anak Datuk Pangkalan Tua Raja Patani (Wan Daim) telah menghadap Raja Umar Jembal dan ketiga-tiganya berkahwin di Kelantan. Mereka adalah:* Tuan Sulung dikahwinkan dengan Cik Biru anak Penghulu Hitam Kampung Laut.* Tuan Besar dikahwinkan dengan Raja Pah puteri Raja Umar.* Tuan Senik dikahwinkan dengan Cik Seku anak Penghulu Deramat Kampung Geting, menjadi Raja di negeri Bukit Jarum Legih, kotanya bernama Kota Pasir Mas.Huraian susur galur salasilah yang dinyatakan dalam rencana ini hanya sebahagian sahaja, ini kerana keturunan beliau sangat ramai yang menjadi tokoh sama ada yang menjadi ulama mahupun menjadi sultan. Tetapi penulis tidak dapat menyenaraikan kesemuanya sekali, hanyalah sebagai pengenalan ringkas mengenainya. Sebagai penutupnya, penulis menyimpulkan bahawa sekiranya ditulis salasilah yang lengkap, boleh dikatakan kebanyakan golongan raja-raja Melayu mempunyai kaitan sebagai keturunan Faqih Ali al-Malbari, baik dari pihak sebelah lelaki mahupun dari pihak sebelah perempuan.
Copyright 2009 - KELUARGA PAJAR, PARIMBUNIS
0 comments:
Post a Comment